Link

14 December 2012

Panduan Membeli Kereta Baru

Pada kebiasaanya ramai orang akan memikirkan cara-cara terbaik untuk membeli kereta terpakai. Namun begitu jarang yang memikirkan untuk membeli kereta baru yang terbaik untuk dirinya sesuai dengan pendapatan dan keselesaan. Membeli sebuah kereta baru pada masa kini amat mudah dengan adanya skim bayaran muka RM "0" yang ditawarkan dipasaran. Disebabkan mudahnya membeli kereta maka ramailah antara kita cuma memikirkan hanya untuk membayar bulanan kereta tersebut tanpa menyedari banyak kos terselindung setelah menggunakan kenderaan. Kos terselindung yang dimaksudkan adalah seperti, kos petrol, kos penyelenggaraan, kos memperbaharui cukai jalan dan insurans dan kos kemalangan (minta dijauhkan).

 Kereta berjenama Honda, Toyota, BMW, dan Mercedes menjadi idaman setiap individu. Oleh itu, ramai dikalangan kita sanggup melabur besar untuk membeli kereta jenama tersebut. Bagi "orang muda" membeli sebuah Honda City atau Toyota Vios menunjukkan status kehebatan, Bagi "orang berpengalaman" pula pasti ingin memandu sebuah Mercedes E240 atau BMW 5 Series bagi menunjukkan gah kepada masyarakat. Jika anda sudah mampu dan stabil kedudukan kewangan adalah tidak menjadi masalah. Namun begitu, bagi mereka yang hanya "sikit-sikit mampu" akan menjadi masalah. Kenapa? Jika anda bergaji RM2700 (bersih) sudah tentu bank akan meluluskan pinjaman anda untuk membeli sebuah Honda City dengan bayaran bulanan dalam lingkungan RM900. Pernahkan anda berfikir tentang kos kehidupan masa kini? Bergaji RM 2700 dengan komitment untuk membayar kereta RM900, Sewa bilik RM300 (bujang), bil telefon RM100, bil-bil lain RM200, Petrol sebulan RM400, penyelenggaraan kereta RM200 (purata), makan-minum RM 500 dan keperlua-keperluan lain.  Adakah anda pernah berfikir mengenai perkara ini? Bajet atas kertas sememangnya  cukup mudah kerana anda cuma perlu sediakan pen, kertas dan kalkulator namun realitinya banyak kos-kos lain yang perlu difikirkan. Ramai kalangan pemilik kereta disenarai hitam selepas tidak mampu membayar bulanan sekaligus kereta akan ditarik oleh bank.

 Setelah kenderaan ditarik dan anda disenarai hitam, barulah sedar bahawa anda sebenarnya tidak mampu untuk memiliki sebuah Honda City. Pada ketika itulah, ramai yang akan kalut dan kusut memikirkan cara untuk membeli kereta lain. Sudah tentu, jika anda tidak lagi layak untuk membeli kereta, waima untuk membeli sebuah Viva 660BX.  Di sini, penulis bukanlah berniat untuk menghalang untuk anda membeli kereta yang hebat, namun memberi penerangan mengenai akibat dan panduan pembelian kereta baru.


Perkara-perkara yang boleh dijadikan panduan untuk membeli kereta baru ialah seperti berikut:
  1. Belilah sebuah kereta mengikut kemampuan bukan untuk bermegah dengan kereta tersebut (kalau sudah betul-betul mampu tidak menjadi masalah)
  2. Beli kereta mengikut keperluan anda. Contohnya, jika anda belum berkahwin anda hanya perlu membeli sebuah kereta sedan atau kompak bukannya MPV.
  3. Buat kajian mengenai kos penyelenggaran kenderaan tersebut, sama ada ia murah atau sebaliknya.
  4. Perlu tahu mengenai kos untuk memperbaharui cukai jalan dan insurans kereta tersebut.
  5. Bertanya kepada ibu bapa mengenai pandangan mereka sebelum membeli kereta.
  6. Carilah sebuah kereta yang jimat penggunaan petrol.
 10 Senarai kereta dengan kos penyelenggaraan murah dan senang di Malaysia:
  1. Perodua Viva (kereta kompak)
  2. Proton Saga baru (sedan kompak)
  3. Proton Persona (sedan)
  4. Perodua Myvi (kereta kompak)
  5. Perodua Alza (mpv kompak)
  6. Proton Exora (MPV)
  7. Honda City (sedan kompak- Jepun)
  8. Toyota Vios (sedan kompak - Jepun)
  9. Nissan Sentra (sedan - Jepun)
  10. Nissan Grand Livina (mpv kompak - Jepun)
Blue Pearl Auto berharap agar panduan yang telah diberikan dapat memberi maklumat dan manfaat serba sedikit kepada anda. Harap maaf jika terdapat kekurangan pada artikel diatas.